Sunday, September 29, 2013

Cerita Seram

PANGGILAN DARI UMMI    

“Grroooooo”, perut Wahidah berbunyi tanda kelaparan. Dia tahu dia harus mendapatkan sesuatu untuk dimakan. Namun, rasa malasnya menguasai diri.
“Ah, sekejap lagilah. Tak mati pun kalau tak makan”, fikirnya untuk menyedapkan hati.
             Wahidah berseorangan di rumah. Bapanya bekerja di luar negeri dan ibunya pulang lewat hari ini. Adik-adiknya yang lain berada di sekolah berasrama atau sedang belajar di universiti yang jauh dari rumah. Dia pulang ke rumah kerana sudah tamat belajar di sebuah institut pengajian tinggi di luar negara. Pada masa sekarang, dia menganggur di rumah sementara menunggu panggilan kerja.
           
            “Idah, kalau kau lapar nanti kau gorenglah ayam yang mak dah letak di dalam peti sejuk tu. Mak mungkin balik lambat hari ini. Kau tahulah macam mana kalau mak dah berjumpa dengan mak su kau tu. Lagi-lagi mak dah lama tak jumpa dengan dia.” Dia teringat pesan ibunya sebelum meninggalkannya siang tadi. Tetapi di dalam hatinya, dia berharap ibunya dapat pulang lebih awal dan membawa makanan untuknya.
                Bunyi perutnya kali kedua membuatkan dia menguatkan diri untuk turun ke dapur. Hal ini kerana Wahidah mempunyai sejarah sakit gastrik sejak kecil lagi. Jika makannya tidak teratur, sakit gastriknya datang dan apabila sakit, rasa sakitnya bukan main lagi sehingga dia pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital.
                “Gelapnya,” katanya perlahan sambil melangkah ke luar bilik. Biliknya berada di tingkat paling atas dan berada paling hujung koridor. Tambahan pula, ruang rumahnya yang besar menjadikan suasana bertambah sunyi. Wahidah menyalakan suis lampu sambil berjalan ke arah tangga.
                Tiba-tiba, dia terdengar seperti ada seseorang di dapur. Langkahnya terhenti. Kakinya menggigil. Bulu romanya tegak berdiri. Kata orang, jika bulu roma tegak berdiri, pasti ada sesuatu yang tidak kena. Mengingat hal itu, darahnya berderau. Hatinya tertanya-tanya siapakah yang berada di dapur itu?
                “Siapa di dapur?” Tanya Wahidah dengan lantang. Tiada jawapan.
                Wahidah masih tidak berani bergerak selangkah dari tempatnya berdiri. Jantungnya berdegup semakin laju. Dia bimbang jika ada perompak yang memecah masuk rumahnya. Fikirannya dipenuhi dengan perkara-perkara negatif. Tangannya cuba mencapai telefon genggamnya di dalam kocek seluarnya. Wahidah segera mendail nombor ‘999’ tetapi belum ditekan butang ‘panggil’. Ini sebagai langkah berjaga-jaga jika perompak itu naik dan cuba melakukan sesuatu terhadapnya.
                “Ini Ummi. Turunlah sini kalau nak makan. Ummi tahu Idah lapar.” Sahutan suara ibunya dari dapur membuatkan Wahidah berasa lega. Tetapi dia masih hairan kenapa ibunya tidak membuka suis lampu rumah dan membiarkan rumah berada dalam keadaan gelap.
                “Ah, lantaklah. Aku dah lapar ni.” Hatinya berkata.
Baru sahaja mahu melangkah turun, tiba-tiba ada seseorang yang memegang bahunya. Dia terkejut. Rohnya bagaikan disentap. Dengan perlahan dia menoleh ke belakang. Wajahnya pucat apabila melihat bahawa ibunya yang memegangnya!
“Suara di dapur itu bukan suara Ummi, “bisik ibunya perlahan.
Wahidah berada di dalam ketakutan. Seumur hidupnya tidak pernah dia merasakan takut seperti ini. Jantungnya bagaikan disentap. Kakinya berasa lemah tetapi dia kuatkan juga untuk berdiri.
“Habis siapa di dapur?” Tanya Wahidah kepada Ummi.
“Dia cuba meniru suara Ummi tetapi dia bukanlah Ummi,” jawab ibunya perlahan.
             Wahidah masih berada di dalam kekeliruan. Dia sendiri tidak tahu yang mana ibunya sebenar dan yang mana harus dipercayainya.
             “Ummi pun seram ni. Jom kita tengok sama-sama siapa di dapur tu.” Cadangan ibunya itu membuatnya berasa sedikit lega. Dia bersama-sama ibunya pun melangkah turun ke dapur. Sewaktu berjalan turun, tiba-tiba dia mendapat sebuah panggilan. Wahidah terkejut dan jatuh pengsan sebelum menjawab panggilan itu. Telefonnya terus berdering. Di atas skrin telefonnya tertera panggilan yang berasal dari ‘Ummi’.



No comments:

Post a Comment